Ahad, 25 Julai 2010

KONSEP ILMU

OBJEKTIF KHUSUS

Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat:

1. menyatakan takrif ilmu.

2. membezakan ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah.

3. menerangkan kelebihan ilmu dan ilmuan.

4. menyenaraikan matlamat ilmu dalam Islam.

1.0 PENGENALAN.

Penekanan kepada ilmu jelas terdapat di dalam al Qur’an. Ini menunjukkan bahawa Islam memberi perhatian yang serius terhadap ilmu. Pengiktirafan Allah SWT terhadap ilmu sebagai sumber tertinggi dijadikan perkara awal yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Ilmu dianggap sebagai teras sistem nilai yang tertinggi dalam Islam.

1.1 KONSEP ILMU DAN PEMBAHAGIAN ILMU.

1.1.1 Takrif Ilmu.

Ilmu berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘alima (mengetahui). Kamus Dewan pula mendefinisikan ilmu sebagai kepandaian @ pengetahuan.

Ibn Manzur di dalam Lisan al ‘Arab, memberi empat huraian terhadap kata dasar al ‘ilm:

Merujuk kepada sifat Allah yang Maha Mengetahui.

Berlawanan dengan sifat al jahl (tidak tahu atau dungu).

Mengetahui sesuatu atau mengenalinya atau ‘arafa.

Dengan pengertian al a’lam yang bermakna tanda atau alamat.

Al Qannuji mentakrif ilmu sebagai al-idrak dan al-tasdiq (pengetahuan dan kebenaran).

Menurut Imam al Ghazali, ilmu adalah hakikat atau kebenaran semua perkara. Ilmu juga merupakan keupayaan membuat generalisasi, kefahaman terhadap idea-idea abstrak dan kebolehan untuk memperolehi kebenaran. Menurut beliau juga, kebenaran sebenar adalah yang disandarkan kepada Allah SWT.

1.1.2 Pembahagian Ilmu.

Dari aspek kewajipan hukum ke atas setiap muslim, ilmu dibahagikan kepada dua: ilmu Fardhu Ain dan ilmu Fardhu Kifayah.

1.1.2.1 Ilmu Fardhu Ain

Ilmu yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim yang telah akil baligh untuk mempelajari dan mengamalkannya, merangkumi ilmu akidah seperti perkara yang berkaitan dengan solat, puasa dan sebagainya. Juga merangkumi ilmu akhlak seperti adab dengan ibubapa dan seumpamanya. Kesemua ilmu ini adalah untuk pembentukan peribadi muslim. Peribadi muslim hanya akan sempurna apabila tercapainya kesempurnaan akidah, syariah, dan akhlak.

1.1.2.2 Ilmu Fardhu Kifayah

Ilmu-ilmu yang dipelajari oleh masyarakat secara kolektif dan bukannya sebagai kewajipan ke atas individu, kecuali sekiranya hanya seorang sahaja yang berkeahlian di dalam bidang tertentu dan tidak ada orang lain yang mempunyai kemahiran tersebut dengan sendirinya ia akan menjadi Fardu Ain. Ilmu Fardu Kifayah yang diwajibkan itu ialah ilmu yang diperlukan untuk kepentingan kehidupan masyarakat Islam di dalam bidang kebendaan dan lain-lain yang bertujuan untuk mencapai keselesaan, kestabilan dan keamanan dalam masyarakat, contohnya seperti ilmu perubatan, ilmu matematik dan sebagainya.

1.2 KEWAJIPAN MENUNTUT ILMU.

Menuntut ilmu adalah wajib kepada semua individu muslim. Ini berdasarkan hadis Rasulallah SAW ( Terjemahannya ) :

“ Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim”

Berdasarkan hadis di atas, kewajipan menuntut ilmu bukan sahaja kepada kaum lelaki muslim sahaja, tetapi juga kepada perempuan muslim. Malah tuntutan ini berterusan sejak dari buaian hinggalah ke liang lahad. Kewajipan ini adalah bertambah besar kepada individu yang jahil sedangkan dia berkemampuan dan berpeluang untuk mempelajarinya.

1.3 KELEBIHAN ILMU DAN ILMUAN.

Allah SWT mengangkat darjat orang-orang yang berilmu. Persiapan keilmuan dilihat sebagai persiapan yang asasi dalam amanah kerasulan Nabi Muhammad SAW berdasarkan surah al alaq 1-5. Perlantikan Nabi Adam AS sebagai khalifah Allah di muka bumi serta tunduknya para malaikat adalah kerana kelebihan Nabi Adam dari segi ilmu dan bukan kerana asal kejadiannya. Saidina Ali menegaskan ilmu itu lebih baik dari harta, ilmu menjaga manakala harta dijaga. Ilmu menghukum manakala harta terhukum. Harta berkurang apabila dibelanjakan manakala ilmu pula bertambah apabila diberikan.

1.3.1 Ilmuan.

Ilmuan merupakan golongan yang mendapat kemuliaan dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan seluruh makhluk. Islam menyatakan dengan jelas tidak sama kedudukan orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Mereka yang takut kepada Allah adalah dari kalangan ulamak. Tidak sama di antara orang yang alim dengan orang yang jahil kerana yang ingat kepada Allah hanyalah orang-orang berilmu. Para ulamak juga diiktiraf sebagai pewaris Nabi yang meneruskan tugas dan amanah kepada masyarakat sekelilingnya. Rasulallah SAW memberi amaran keselamatan dan keruntuhan sesebuah masyarakat bergantung kepada dua kelompok manusia iaitu para pemimpin dan ilmuan.

1.3.2 Matlamat Ilmu.

Antara matlamat ilmu Islam ialah :

Ilmu sebagai pelita yang mampu memberi cahaya kepada manusia dalam kehidupan mereka. Ilmu dalam Islam hendaklah digunakan hanya untuk mencari keredaan Allah dan memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk faedah diri dan kepentingan masyarakat manusia dan alam seluruhnya.

Untuk melahirkan insan yang kamil ( insan yang baik lagi sempurna ) yang dapat mempertahankan kedudukan sebagai manusia yang sebenarnya menurut ajaran Islam.

Melahirkan insan yang bertakwa ( takut kepada Allah ) .

1.3.3 Sumber Ilmu.

Al Qur’an

Al Qur’an merupakan sumber ilmu yang pertama dan wajib diterima secara qarti’e oleh setiap umat Islam. Sumber ilmu Islam berasaskan kepada Al Qur’an mempunyai kemutlakan autoriti yang tidak boleh disangkal. Al Qur’an ialah kalam Allah SWT yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang termaktub di dalam mashaf, dipetik dari riwayat yang mutawatir, membacanya dikira ibadah, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur dengan lafaz dan makna dari Allah SWT dalam bahasa arab.

Al Sunnah.

Merupakan sumber ilmu yang kedua selepas al Qu’ran. Al Sunnah ialah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW sama ada perkataan, perbuatan atau pengakuan ( persetujuan ) ataupun sifat-sifat kejadian, akhlak dan sirahnya sebelum atau sesudah dilantik sebagai Rasul. Berperanan sebagai penjelas, penghurai, penguat kepada al Qur’an.

Sumber-sumber Lain.

Sumber lain berdasarkan kajian dan orientasi yang benar diterima asalkan tidak bercanggah dengan prinsip Islam, misalnya akal fikiran, psikologi manusia, sejarah dan sebagainya. Sumber tambahan ini perlulah selaras dan tidak bertentangan dengan isi kandungan al Qur’an dan al Sunnah. Sumber ini merupakan ruang lingkup yang membuka peluang untuk manusia melakukan ijtihad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan