Isnin, 26 Julai 2010

KONSEP AKIDAH

OBJEKTIF AM

1. Mengetahui dan memahami pengertian iman dan akidah.

2. Mengetahui dan memahami tentang konsep Iman, Islam dan Ehsan.

3. Mengetahui dan memahami pembahagian manusia.

4. Membezakan jenis-jenis manusia berdasarkan akidah.

5. Mengetahui dan memahami rukun- rukun dalam Islam dan peranannya.

OBJEKTIF KHUSUS

Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat:

1. menyatakan rukun Iman dan Islam.

2. menjelaskan peranan setiap rukun terhadap orang Islam.

3. menghuraikan konsep Iman, Islam dan Ehsan.

4. menghuraikan perkaitan rukun Iman dengan kehidupan harian manusia.

5. membuat perbandingan diantara manusia mukmin, muslim, kafir, zalim dan fasik.

3.0 PENGENALAN.

Aqidah merupakan simpulan yang kukuh yang tertanam di dalam jiwa. Simpulan tali aqidah dalam jiwa ini, tiada siapa pun yang dapat merungkaikan atau memutuskan dari jiwanya selain dari dirinya sendiri dan Allah yang mencipta dan memiliki jiwa hambanya. Sejarah para sahabat telah membuktikan hakikat ini.

3.1 TAKRIF AKIDAH DAN IMAN

3.1.1 Takrif Akidah

Aqidah Islam dapat ditakrifkan sebagai kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat dan nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki lagi kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh Islam, iaitu kepercayaan yang tersimpul dengan teguh dalam jiwa yang tidak mungkin terurai dalam apa jua keadaan dan suasana.

3.1.2 Takrif Iman.

Iman bererti mempercayai dan menerima. Iman letaknya di hati, disokong dengan pengakuan melalui lidah dan dibuktikan dengan amal dan perbuatan. Berdasarkan itu, ulamak memberi takrif iman sebagai:

“Membenarkan dengan hati, mengaku dengan lidah dan melakukan amalan dengan anggota.”

3.1.3 Penghayatan Rukun Iman.

Rukun-rukun iman ialah:

1. Beriman kepada Allah SWT.

2. Beriman kepada Malaikat.

3. Beriman kepada kitab-kitab Allah.

4. Beriman kepada para Rasul.

5. Beriman kepada hari Akhirat.

6. Beriman kepada Qadar dan Qada’.

Keimanan bukanlah ucapan yang keluar dari bibir semata-mata, tetapi keimanan yang sebenar adalah merupakan suatu akidah atau kepercayaan yang memenuhi seluruh isi hati.

Dari situ akan muncullah kesan-kesannya, antaranya:

Allah dan RasulNya lebih dicintai dari segala suatu yang ada (lihat al Qur’an: Al-Taubah:24).

Merasa takut dan malu terhadap Allah jika melakukan laranganNya (Al-Fathir:28).

Menjadi asas semua amalan yang soleh dan pendinding dari maksiat dan kederhakaan.

3.2 HURAIAN RUKUN IMAN.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Umar Ibni Al-Khattab RA bahawa di dalam pertemuan malaikat Jibril dengan Rasulullah SAW di dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW, maka Jibril telah mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah yang bermaksud:

“Jibril telah berkata kepada Rasulullah: kamu terang kepadaku mengenai iman, maka jawab Rasulullah : Iman itu ialah bahawa kamu beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kemudian dan kamu beriman bahawa habuan dan peruntukan bagi kamu sama ada yang baik atau buruk adalah semua daripada Allah. Maka Jibril pun berkata: Kamu telah berkata benar.”

Jadi, dari ayat al Qur’an dan hadith di atas dapatlah disimpulkan bahawa rukun iman itu ialah enam perkara iaitu :

1. Percaya kepada Allah.

2. Percaya kepada Malaikat.

3. Percaya kepada Kitab-kitab.

4. Percaya kepada Rasul-rasul.

5. Percaya kepada Hari Kiamat.

6. Percaya kepada Qadar dan Qada’.

3.2.1 Percaya Kepada Allah.

Percaya kepada Allah adalah perkara asas dalam akidah Islam dan syariatnya. Erti beriman dengan Allah Ta’ala itu ialah mengetahui, percaya dan beriktikad dengan perkara-perkara yang wajib, perkara-perkara mustahil dan perkara yang harus bagi Allah Ta’ala.

Beriman dengan Allah juga bermaksud:

a) Membenarkan dengan yakin akan adanya Allah.

b) Membenarkan dengan yakin akan keesaan Allah, baik dalam perbuatanNya menjadikan alam dan makhluk seluruhnya mahupun dalam menerima ibadat setiap makhluk.

c) Membenarkan dengan yakin bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, suci dari segala kekurangan dan suci juga dari menyerupai segala yang baharu.

Apabila manusia itu mengenali Tuhan yang Maha Besar yang menjadikannya dan berhubung dengannya maka dia tahu bahawa dia adalah milik Tuhannya sahaja dan dengan itu bebaslah ia dari segala kuasa selain dari kuasa Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya:

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”

(al-Baqarah : 21)

Ertinya bahawa Allah itu adalah pencipta setiap benda yang ada di alam ini termasuk bumi, langit dan planet-planet lain, yang dapat dilihat atau tidak, semuanya adalah kepunyaan Allah SWT.

Dengan demikian semua manusia yang ada di muka bumi ini walau apa bangsa sekalipun dan di negara mana sekalipun adalah tertakluk kepada perintah Allah. Mereka dikehendaki menganuti agama Allah dan agama Allah yang terakhir sekali iaitu agama Islam .

Percaya kepada Allah ini adalah pokok kepada kepercayaan atau rukun-rukun iman yang lain, kerana dengan adanya Allah maka adanya yang lain-lain itu.

3.2.2 Percaya Kepada Malaikat.

Ertinya ialah bahawa Allah telah menjadikan sejenis makhluk halus yang keadaan asalnya tidak boleh dilihat, bukan lelaki dan bukan perempuan. Bilangannya tidak diketahui. Hidup mereka sentiasa taat kepada perintah Allah tanpa sekali-kali menderhakainya. Malaikat dijadikan oleh Allah daripada cahaya, sabda Rasulullah S.A.W ( Terjemahannya ) :

“Malaikat itu dijadikan daripada cahaya, jin dijadikan daripada api yang tidak berasap dan dijadikan nabi Allah Adam sebagaimana yang diterangkan iaitu daripada tanah.”

( Hadith riwayat muslim )

Di antara nama-nama malaikat dan tugas-tugasnya ialah :

1. Jibril:

Menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya untuk disampaikan kepada manusia.

2. Mikail:

Mengawal cakerawala termasuk matahari , bulan , bintang-bintang, keadaan hujan dan panas dan lain mengikut yang dikehendaki oleh Allah.

3. Izrail:

Mengambil nyawa seluruh makhluk yang bernyawa apabila sudah sampai waktu yang dikehendaki oleh Allah .

4. Israfil:

Meniup serunai sangkakala apabila tiba masanya.

5. Raqib:

Mencatit amalan baik yang dilakukan oleh manusia.

6. Atid:

Mencatit amalan jahat yang dilakukan oleh manusia.

7. Mungkar:

Menyoal manusia di dalam kubur.

8. Nakir:

Menyoal manusia di dalam kubur.

9. Ridhwan:

Mengawal syurga.

10. Malik:

Mengawal neraka.

3.2.2.1 Hikmat Beriman Kepada Malaikat.

Antara lain dapatlah dikatakan :

a) Apabila seseorang itu menyedari bahawa dia sentiasa diawasi oleh malaikat maka dia akan sentiasa menjaga tingkah lakunya, sentiasa berkelakuan baik, menjaga tutur katanya walau di mana dia berada.

b) Jika dia terlanjur melakukan sesuatu kesalahan dan kesilapan, dia akan segera insaf dan bertaubat kembali, tidak akan mengulangi lagi kesalahan tersebut, kerana menyedari setiap tutur katanya, gerak lakunya sama ada buruk atau baik akan tetap tidak terlepas daripada catitan Malaikat Raqib dan Atid.

c) Apabila seseorang muslim itu mengetahui apabila dia mati, dia akan ditanya dan diseksa oleh malaikat dalam kuburnya maka semasa hidup di dunia ini dia akan mengerjakan apa yang disuruh dan menghindar apa yang dilarang Allah. Jadi, apabila menyedari keadaan ini tentu dia akan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga supaya suruhan Allah akan sentiasa dipatuhi dan dia akan selamat di alam kubur nanti.

3.2.3 Percaya Kepada Kitab.

Orang-orang Islam wajib percaya bahawa Allah SWT telah menurunkan beberapa buah kitab kepada rasul-rasulNya. Isi pengajaran kitab-kitab itu adalah mengandungi ajaran-ajaran mengenai amal ibadat untuk akhirat dan juga petunjuk-petunjuk untuk memperbaiki kehidupan manusia di dunia.

Kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam itu ialah:

1. Zabur : Nabi Daud (dalam bahasa Qibti).

2. Taurat : Nabi Musa (dalam bahasa Ibrani).

3. Injil : Nabi Isa (dalam bahasa Suryani).

4. Al-Quran : Nabi Muhammad S.A.W. (dalam bahasa Arab).

Setiap rasul yang diutus oleh Allah kepada manusia dilengkapi dengan kitab yang menjadi pedoman, pembimbing dan undang-undang kepada manusia yang dipimpinnya.

Firman Allah SWT maksudnya :

“Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu tetapi akhirnya mereka telah berselisih faham), maka Allah telah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada yang engkar dengan balasan azab neraka azab neraka), dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang mempunyai keterangan-keterangan benar untuk menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka pertikaikan.”

( Al-Baqarah : 213)

Al Qur’an merupakan kitab terakhir sekali diturunkan oleh Allah dan penutup kepada segala kitab-kitab yang terdahulu. Allah SWT berfirman maksudnya:

“ Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia, yang tetap hidup, yang kekal selamanya mentadbirkan (sekelian makhluk). Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci (al-Quran) dengan (mengandungi) kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan ia juga yang menurunkan kitab-kitab Taurat dan Injil, sebelum (al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan ia juga menurunkan al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dan yang salah).

( Al-Imran:2-4 )

3.2.4 Percaya Kepada Rasul.

Seseorang Islam diwajibkan beriman bahawa Allah telah mengutuskan beberapa orang rasul yang dipilihNya daripada jenis manusia yang cukup sempurna. Mereka menerima wahyu yang mengandungi hukum-hukum syarak untuk mengajar dan membimbing manusia kepada kehidupan yang membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sifat-sifat yang wajib bagi Rasul ada empat iaitu:

1. Siddiq - Benar pada segala percakapan, perkhabaran

dan perbuatan.

2. Amanah - Jujur dan tidak membuat kesalahan.

3. Tabligh - Menyampaikan semua perintah Allah kepada

manusia.

4. Fathonah - Bijaksana.

Erti Rasul dari segi bahasa ialah :

Utusan yang menyampaikan sesuatu perutusan seseorang kepada orang lain. Manakala dari segi istilah : Rasul ialah lelaki utusan Allah yang menerima wahyu Allah untuk dirinya dan wajib disampaikan kepada umat manusia agar mereka dapat melalui jalan yang lurus dan diredhai Allah.

Terdapat 25 orang rasul yang wajib diketahui, iaitu Adam, Idris, Nuh, Hud, Salleh, Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaakub, Yusuf, Ayub, Syuib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas, Iliasa’, Yunus, Zakaria, Yahya, Isa dan Muhammad s.a.w. Semua rasul-rasul diutuskan oleh Allah kepada kaum masing-masing, kecuali Nabi Muhammad (SAW) diutuskan kepada seluruh umat manusia. Firman Allah SWT maksudnya:

“Tidaklah Kami (Allah) utuskan engkau (Muhammad) kecuali untuk umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan juga berita menakutkan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikatnya.”

(As-Saba’:28)

Firman Allah SWT lagi maksudnya:

“Bahawa Nabi Muhammad itu bukanlah bapa kepada seorang lelaki daripada kamu Zaid bin Harisah,(anak angkat Rasulullah), malah adalah Rasul (utusan) Allah dan penyudah segala nabi (yang terdahulu) dan adalah Allah itu mengetahui segalanya.”

(Al-Ahzaab: 40)

3.2.5 Percaya Kepada Hari Akhirat.

Beriman kepada hari Akhirat merupakan masalah yang paling berat dari segala macam akidah dan kepercayaan manusia. Sejak zaman sebelum Islam sampailah sekarang manusia telah memperkatakan masalah ini. Para ahli fikir selalu menempatkan persoalan ini sebagai inti penyelidikannya, sebab beriman kepada hari akhirat akan membawa manusia kepada keyakinan adanya satu kehidupan duniawi dan penciptaan manusia. Demikianlah pentingnya masalah ini hingga turunnya ayat-ayat Allah menerangkan kedudukan hari Akhirat ini.

3.2.5.1 Pola beriman kepada hari Akhirat itu terbahagi kepada lima fasa:

1. Tahap kehancuran segala makhluk yang ada di muka bumi. Dalam proses kehancuran ini akan terjadilah gempa bumi, di mana gunung-gunung menjadi debu berterbangan, air laut mendidih meluap-luap, bintang-bintang berguguran, langit bergulungan, sedang manusia semua mabuk dan pitam. Kemudian musnahlah segala makhluk sama ada yang bernyawa mahupun tidak, hanya Allah tetap kekal.

Firman Allah SWT maksudnya:

“Semua yang ada di alam ini binasa. Hanya Zat Tuhan yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal.”

(Ar-Rahman: 26-27)

2. Hari kebangkitan di mana manusia akan dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan di padang Mahsyar.

3. Diperlihatkan seluruh amal perbuatan di dunia dahulu. Tidak ada yang tersembunyi sama ada yang jahat mahupun yang baik, sekalipun sebesar zarah (atom).

Firman Allah SWT maksudnya:

“Pada hari itu, manusia keluar dari kuburnya dalam bermacam-macam keadaan, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barang siapa yang mengerjakan seberat timbangan zarah kebaikan, tentu akan dilihatnya. Dan barang siapa yang mengerjakan seberat timbangan zarah kejahatan nescaya akan dilihatnya pula.”

(Al-Zalzalah: 6-8)

4. Hari menghisab di depan mahkamah keadilan Allah, di mana manusia akan memperolehi keputusan yang paling adil tanpa ada penganiyaan.

5. Hari keputusan di mana manusia akan menerima ganjaran yang setimpal dengan amalannya. Di sini saat yang dijanjikan akan dipenuhi sebagai tujuan penciptaan manusia. Mereka yang banyak amal kebajikan akan ditempatkan di syurga dan yang banyak amalan kejahatan akan ditempatkan di neraka yang penuh azab sengsara.

Dari fasa-fasa di atas, fasa kelima mempunyai nilai yang paling tinggi bagi kehidupan manusia. Ia menunjukkan kehidupan di dunia ada ertinya, bukan hidup sekadar makan dan minum sahaja tanpa ada kelanjutan dari segala usaha yang dilakukan di dunia ini. Apa yang kita kerjakan sekarang merupakan bentuk keinginan untuk kehidupan yang mendatang. Jelas didapati bahawa berbagai corak kehidupan yang dialami manusia seluruhnya, sedangkan akhirat tempat kekal dari amalan yang pernah dilakukan di dunia.

Beriman kepada hari Akhirat membawa kesan positif kepada manusia kerana ia mengajar manusia beramal soleh. Manusia soleh akan banyak memberi manfaat sesama insan, kebaikan yang dibuat bukan untuk mencari populariti diri dan bukan mengharapkan balasan material, malah mencari keredhaan Allah semata-mata. Maka akan lahirlah manusia bertaqwa dan sanggup menghadapi segala rintangan hidup sebagai ujian Allah kepada mereka.

Jika dalam menegakkan kalimah Allah mereka sanggup menggadaikan harta dan nyawa, maka sesungguhnya mereka adalah benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Sikap optimis yang mereka miliki, dengan pandangan yang tajam dan merupakan hasil dari keyakinan mereka kepada hari akhirat di mana di sanalah mereka akan diberi kemenangan yang abadi.

Akibat dari keimanan kepada hari akhirat wujudlah manusia yang benar-benar cintakan Allah hingga segala amalan perbuatan dalam kehidupannya adalah untuk Allah. Jika sikap yang demikian itu dipunyai setiap muslim, maka sudah tentu ancaman dari luar yang ingin menghancurkan Islam dapat dihapuskan, malah Insya Allah kesucian Islam dapat dipertahankan dan menjadi ikutan serta anutan seluruh manusia.

3.3 PERINGKAT-PERINGKAT IMAN.

Para ulamak membahagikan iman kepada beberapa peringkat:

1. Iman Taqlid :

Iaitu iman ikut-ikutan, hanya semata-mata mengikut pendapat orang lain.

2. Iman Ilmu :

Iaitu beriman semata-mata kerana berilmu dan berdasarkan pada fikiran tidak terletak di hati.

3. Iman A’yan :

Iaitu iman yang terletak di dalam hati. Iman ini dimiliki oleh orang-orang soleh.

4. Iman Hak :

Iaitu iman sebenar yang terlepas dari nafsu syaitan. Iman ini dimiliki oleh golongan muqarrabin, iaitu orang yang hampir kepada Allah.

5. Iman Hakikat :

Iaitu iman peringkat tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Iman ini hidup semata-mata untuk Allah dan Rasul serta hari akhirat seperti para sahabat nabi.

Setiap manusia harus memiliki sekurang-kurangnya iman A’yan untuk memperoleh ketenangan, kesejahteraan dan kekuatan jiwa serta semangat pengorbanan untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.

3.2.6 IMAN BERTAMBAH DAN BERKURANG.

Iman seorang manusia sentiasa bertambah dan berkurang mengikut amalan mereka. Untuk mencapai iman yang teguh kita hendaklah melakukan perkara-perkara berikut :

Melawan hawa nafsu.

Mengosongkan hati daripada sifat-sifat tercela seperti ujub, angkuh, sombong, tamak, riya’ dan sebagainya.

Membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji.

Melahirkan keikhlasan berbakti dan berkorban semata-mata kerana Allah.

Memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, bersedekah, puasa sunat dan sebagainya.

Bertafakur, iaitu memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.

3.3 HUBUNGAN ANTARA IMAN, ISLAM DAN IHSAN.

Hubungan antara Iman, Islam dan Ihsan boleh diibaratkan seperti sebatang pokok. Bahagian akarnya ibarat iman, di mana ia tidak kelihatan. Akar di dalam tanah dan iman di dalam hati. Sekiranya akarnya baik tanpa sebarang cacat dan tidak ada penyakit, suburlah batang dan daun-daunnya. Begitu juga iman yang sihat akan melahirkan amalan yang baik.

Batang dan daun-daun yang subur itu ibarat Islam. Batang ialah bahagian yang nampak dilihat dari bahagian pokok tersebut. Begitu juga Islam dapat dilihat melalui amalan-amalan zahir. Amalan yang bersungguh adalah hasil dari iman yang kuat dan kukuh.

Ihsan ibarat buah dari pokok. Pokok yang akar dan batang yang sihat akan menghasilkan buah yang juga baik. Ihsan adalah hasil dari iman dan amalan Islam yang bersungguh di mana akan terpancarlah akhlak baik yang dikagumi oleh kawan dan lawan.

Kesimpulannya, antara Iman, Islam dan Ihsan mempunyai hubungan yang rapat yang tidak dapat dipisahkan. Pengakuan beriman tanpa ada amalan Islam adalah dusta. Amalan Islam tanpa iman adalah munafik. Begitu juga Ihsan tidak akan wujud tanpa Iman dan Islam.

3.5 PEMBAHAGIAN MANUSIA.

Dari segi aqidah, manusia pada asasnya terbahagi kepada tiga bahagian :

Manusia Mukmin.

Manusia Kafir.

Manusia Munafiq.

3.2.1 Manusia Mukmin.

Manusia mukmin ialah mereka yang beriman kepada Allah SWT dan beriman kepada rukun-rukun Iman yang enam. Beriman dengan sebenar-benarnya dengan perbuatan dan amalan sekali.

Sifat-sifat Manusia mukmin.

Bertakwa

Allah SWT berfirmanmaksudnya :

“Kitab Al- quran itu tidak ada keraguan padanya, penunjuk bagi mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka beriman kepada kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan akhirat). Mereka itulah yang tetap dapat petunjuk dari Tuhanmu, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

(Al-Baqarah:1-5)

Menerima dan patuh kepada hukum Allah SWT.

Firman Allah Taala maksudnya :

“Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin bila dipanggil kepada Allah dan rasulNya menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan kami mendengar, dan kami patuh, dan mereka itulah orang yang berjaya.”

( An-Nur: 51 )

Cintakan Allah.

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka menyintainya sebagaimana mereka menyintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat menyintai Allah. Jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat) bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan Allah amat berat siksaanNya (nescaya mereka menyesal).”

(Al Baqarah : 165)

Sembahyang dengan khusyuk.

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya mencapai kejayaanlah orang-orang Mukmin yang sembahyang dengan khusyuk.”

(Al Mukminun:1-2)

Berjihad di jalan Allah.

Allah SWT berfirman maksudnya :

“ Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang kafir berperang di jalan taghut.”

(An- Nisaa’ :76)

Dakwah kepada kebaikan.

Allah SWT berfirman maksudnya:

“ Mukmin lelaki dan perempuan sebahagian menjadi penolong kepada sebahagian yang yang lain. Mereka menyuruh orang-orang membuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya..”

(at-Taubah :71)

3.2.1.1 Janji-Janji Allah Kepada Orang Mukmin.

Di dalam al Qur’an banyak terdapat ayat-ayat yang menunjukkan Allah memberi jaminan kepada mukmin dengan kehidupan yang sempurna di alam akhirat. Allah SWT tidak sekali-kali memungkiri janjiNya.

Di antara firman Allah SWT maksudnya:

“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin dirinya dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.”

(At-Taubah: 111)

Dari ayat di atas, dapatlah disimpulkan bahawa:

1. Allah SWT memberi jaminan sepenuhnya bahawa orang-orang

mukmin diberi pembalasan yang baik dengan dimasukkan ke dalam syurga.

2. Penghuni-penghuni syurga akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Sebagai ganjaran pahala dari Allah ke atas amalan- amalan yang mereka lakukan di dunia.

3. Orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan kelihatan bercahaya-cahaya lantaran berita gembira yang mereka terima, iaitu syurga abadi.

Oleh itu, janganlah merasa hina dan rendah diri lantaran beramal dengan amalan Islam dan terimalah seruan Allah SWT. Allah SWT telah berfirman maksudnya :

“ Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjat) jika kamu orang yang beriman.”

(Ali-Imran : 139)

3.2.2 Manusia Kafir.

Dari segi bahasa :

Kufur bererti tutupan atau penutup. Oleh itu orang menutup iman dari hatinya disebut kafir.

Dari segi istilah :

Kufur bererti tidak beriman kepada keesaan Allah atau kenabian atau syariat atau ketiga-tiganya sekali.

Para ulama telah membahagikan kufur kepada beberapa bahagian, antaranya :

Kufur tauhid kepada Allah, seperti firman Allah SWT maksudnya :

“Sesungguhnya orang-kafir sama sahaja bagi mereka , kamu beri peringatan atau tidak , mereka tidak juga beriman.”

(al-Baqarah : 6)

Kufur dengan makna juhud (menentang) Allah. Firman Allah SWT maksudnya :

“ Apabila datang kepada mereka apa yang mereka tahu , mereka kufur dengannya. Maka laknat Allah ke atas orang-orang kafir.”

(Al-Baqarah:89 )

Kufur nikmat (tidak berterima kasih kepada Allah). Firman Allah SWT maksudnya :

“ Syukur kepadaKu dan janganlah kufur ‘

(Al-Baqarah:152 )

Kufur bara’ah (melepaskan diri). Firman Allah SWT maksudnya:

“ Kemudian pada hari qiamat, melepas diri setengah mereka dengan setengah.”

(Al-Ankabut: 25 )

Sifat Orang kafir :

Tidak yakin akan adanya hari kebangkitan dan alam akhirat.

Memperolokkan al Qur’an dan orang yang beriman.

Menghalang manusia lain dari mengikut jalan Allah.

Menjadi hamba kepada kebendaan.

Merasa iri hati terhadap orang Islam yang menyeru kepada kebenaran.

Memperolokan agama Allah, membenci dan menentang apa saja yang berkaitan dengan Islam.

3.2.3 Manusia Munafik.

Salah satu penyakit rohani yang amat merbahaya ialah nifak, kemunafikan dan orang yang memiliki sifat itu disebut munafik. Asal makna nifak ialah menampakkan yang baik sedangkan hatinya tidak. Munafik pada pengertian istilah ialah orang yang menyembunyikan kekafiran di dalam hatinya tetapi menyatakan iman dengan lidahnya.

Manusia munafik terbahagi kepada dua :

Munafik Iktiqadi :

Iaitu iktikadnya terhadap pokok persoalan iman denagn bersikap dan bersifat nifak. Golongan ini akan kekal di dalam neraka, sekiranya mati tanpa bertaubat kepada Allah dan memperbetulkan semula iktikadnya.

Munafik Amali :

Iaitu amalan-amalan dalam ibadatnya bersifat dan bersikap nifak, seperti seseorang itu beramal kerana selain dari Allah. Maka golongan ini melakukan dosa yang memerlukannya bertaubat kepada Allah. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga sesudah dimasukkan ke dalam neraka.

Sifat-sifat orang Munafik :

Penyakit hati.

Berbuat kerosakan di bumi.

Menuduh orang beriman sebagai bodoh.

Mengambil orang kafir sebagai pemimpin orang mukmin.

Menipu, riya’, malas dalam mengerjakan ibadat.

Menyuruh yang mungkar dan melarang perkara makruf.

Ahad, 25 Julai 2010

TASAWWUR ISLAM

OBJEKTIF AM

1. Mengetahui dan memahami konsep Islam sebagi al Din.

2. Memahami konsep Sekularisme dan bahayanya kepada umat Islam.


OBJEKTIF KHUSUS

Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat:

1. menghuraikan pengertian Islam sebagai satu cara hidup.

2. menyatakan ciri-ciri keistimewaan Islam.

3. memberikan contoh kehidupan yang bersesuain dengan konsep al Din.

4. menyatakan pengertian Sekularisme.

5. membezakan konsep Islam dan Sekularisme.


2.0 PENGENALAN.

Islam adalah agama wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk memimpin umat manusia kepada kebenaran bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.


2.1 PENGERTIAN ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP.


2.1.1 Definisi Islam.

2.1.1.1 Erti Islam dari segi bahasa ialah sejahtera, suci, aman, taat, dan berserah diri. Manakala dari segi istilah ialah patuh, tunduk, dan menyerah diri kepada Allah SWT dengan ikhlas bagi memperoleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

2.1.1.2 Kepatuhan kepada syariat Allah SWT merangkumi ketiga-tiga aspek, iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga aspek ini tidak boleh dipisahkan dalam menjalani kehidupan harian kerana memisahkan satu daripadanya akan merosakkan kesucian ajaran Islam.

2.1.1.3 Islam adalah agama yang membawa kesejahteraan kepada penganutnya yang mematuhi segala ajarannya. Oleh hal yang demikian, seseorang muslim yang sejati mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

• Berpegang teguh pada segala ajaran yang terdapat dalam al Qur’an dan menjadikannya sebagai panduan hidup.

• Tidak mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu.

• Patuh pada segala ketentuan Allah SWT dengan ikhlas.

• Reda dengan segala ketentuan daripada Allah SWT dan sentiasa bertawakal dalam segala urusan.

• Sentiasa berusaha untuk menjadi muslim yang berjaya dan cemerlang dalam semua bidang.

• Sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT untuk keselamatan hidup di dunia dan di akhirat.

2.1.1.4. Islam adalah agama penutup bagi agama-agama Samawi (agama yang turun dari langit). Oleh sebab itu segala ajaran Islam adalah lengkap, merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan di dunia dan di akhirat.

2.1.1.5 Keunggulan agama Islam dapat dilihat daripada beberapa aspek, misalnya:

• Ajarannya lengkap untuk keperluan dan kesejahteraan hidup manusia.

• Ajarannya sesuai di amalkan oleh semua bangsa di dunia.

• Ajarannya sesuai diamalkan pada setiap masa dan semua tempat di dunia ini.

• Allah SWT yang menjadikan manusia dan mengetahui segala keperluan makhlukNya, maka syariat Islam dapat memenuhi keperluan-keperluan tersebut.


2.1.2 Pengertian Islam Sebagai Al Din.

Menurut al Qur’an Islam adalah agama (al Din) dan al Quran sebagai sumber yang mutlak telah menggunakan kalimah ‘ad-din’ dalam dua bentuk:

• Agama (cara hidup) yang sesat, seperti firman Allah:

Maksudnya: Untukmulah agamamu…

• Agama (cara hidup) yang diakui benar dan hak seperti firman Allah:

Maksudnya: “Dan untukkulah agamaku.”

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (cara hidup) yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam.”

Istilah agama (al Din) dalam al Qur’an merangkumi empat ciri-ciri pokok:

• Kehakiman, kesultanan dan kekuasaan yang mutlak dan tertinggi.

• Kepatuhan dan ketaatan kepada kekuasaan mutlak tersebut.

• Sistem atau peraturan-peraturan sama ada yang berbentuk teori atau amali yang digubal oleh kekuasaan, kehakiman dan kesultanan yang tersebut.

• Pembalasan nikmat yang diberikan oleh kekuasaan yang tertinggi ke atas setiap yang taat dan patuh kepada sistem tersebut, atau sebaliknya pembalasan azab ke atas yang ingkar dan derhaka.

Dengan penjelasan lain istilah agama (ad Din) menurut al Qur’an merangkumi empat bidang:

a. Bidang akidah.

b. Bidang ibadah.

c. Bidang perundangan.

d. Bidang akhlak.

Agama atau ad Din yang merangkumi keempat-empat ciri yang tersebut itulah yang diistilahkan ISLAM:

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (cara hidup) yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam.”


2.2 CIRI-CIRI KESEMPURNAAN ISLAM.

Islam merupakan satu cara hidup yang mempunyai sifat keistimewaannya tersendiri berbanding dengan agama-agama yang lain di atas muka bumi ini. Islam mempunyai ciri-ciri asas yang unggul lagi istimewa. Menurut Abdullah Nasih Ulwan, ciri-ciri Islam adalah seperti berikut :

Belajar juga sebahagian dari agama. Hukumnya adalah WAJIB!!!


2.2.1 Ketuhanan ( Rabbaniyah ).

Islam bukan agama ciptaan manusia. Setiap ciptaan manusia mempunyai kelemahan, keterbatasan dan terpengaruh oleh faktor-faktor tempat, masa, budaya, warisan, watak dan hawa nafsu. Maksud Rabbaniyyah ialah bahawa seluruh alam, peraturan serta sistem yang terkandung di dalam Islam merupakan ciptaan Allah dan digubal olehNya. Allah sebagai pencipta, pentadbir dan pemilik alam dan seluruh makhluk. Tidak ada satupun sistem Islam ini direka atau digubal oleh manusia. Penerimaan manusia akan hakikat Rabbaniyyah ini akan mendorongnya melaksanakan seluruh tuntutan Islam ini dengan penuh gembira, senang, redha, jujur dan ikhlas. Dorongan ini berlaku kerana :

i. Benar-benar mengetahui dan yakin bahawa Allah Maha Berkuasa dan berhak berbuat mengikut kehendakNya dan manusia hanya berhak patuh kepadaNya. Firman Allah SWT:

Maksudnya :

Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha suci Allah dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka persekutukan

( Surah al Qasas : 68 )

ii. Meyakini bahawa Allah Maha Mengetahui atas seluruh kejadianNya. Maka itu Dia berkuasa menyusun aturan kehidupan untuk makhluknya.

iii. Meyakini bahawa dengan kebijaksanaan dan keadilan Allah, Dia menciptakan aturan hidup ini dengan sebaik-baiknya untuk kebaikan makhlukNya atas rahmat dan keadilannya.

iv. Meyakini bahawa manusia tetap lemah dan tidak berupaya untuk sampai ketahap kesempurnaan walau setinggi manapun ilmu pengetahuannya.

Atas dasar Rabbaniyah inilah, seorang muslim tidak mempunyai alternatif lain kerana menerima aturan hidup Islam ini adalah tuntutan keimanan dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.


2.2.2 Kesejagatan ( Alamiyah ).

Pelaksanaan sistem Islam dan misinya tidak terhad pada sempadan benua dan rupa bentuk muka bumi. Begitu juga manusia menurut pandangan Islam adalah sama, tidak ada batas pemisah di antara mereka. Kesesuaiannya meliputi setiap ruang dan makhluk yang wujud di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT :

Maksudnya :

Dan tidaklah kami mengutus kamu,melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam

( Surah al-Anbiya’ :107 )

Pendekatan Islam adalah bersifat universal dan tidak menyukai adanya batas-batas berasaskan warna kulit, bangsa, darah atau daerah, sebaliknya Islam mahu menyatukan keseluruhannya. Sifat kesejagatan ini juga tidak terbatas kepada waktu-waktu tertentu atau generasi tertentu sahaja.


2.2.3 Waqi’iyah ( Realiti ).

Islam adalah agama yang realistik kerana Islam diturunkan untuk dipraktikkan disemua tempat dan masa yang memang berlaku dalam kehidupan manusia seperti kehidupan berkeluarga, perhubungan sesama manusia, ekonomi dan seumpamanya.


2.2.4 Islam agama semua zaman dan tempat.

Islam adalah agama Allah yang sesuai untuk setiap zaman dan semua tempat. Allah SWT sebagai Rabb bagi alam ini sangat mengetahui tentang masa dan tempat kerana semuanya adalah di bawah kawalan Allah SWT. Adalah terlalu bodoh dan dangkal sesiapa yang mengatakan Islam hanya sesuai di zaman Nabi Muhammad SAW sahaja. Dalam ajaran Islam ada perkara-perkara yang tetap dan boleh berubah-ubah. Perkara yang menjadi prinsip seperti persoalan akidah sama sekali tidak boleh berubah dan tidak perlu kepada perubahan. Demikian juga perkara dasar dalam syariah. Manakala perkara-perkara yang bersifat rantingan atau perkara-perkara kecil yang berbentuk penditilan maka dibolehkan untuk berubah bahkan perlu kepada perubahan.


2.2.5 Islam agama Agong

Islam adalah agama paling tinggi lagi agung. Ia milik Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulallah SAW dan sahabat-sahabat Baginda telah mempersaksikan keagungan Islam. Pada masa itu umat Islam telah dapat mengalahkan kerajaan-kerajaan taghut Rom dan Parsi. Umat Islam hari ini lemah adalah kerana mereka tidak memperjuangkan Islam dan tidak menghayatinya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulallah SAW.


2.2.6 Kamil dan Syamil

Kamil bererti lengkap dan sempurna manakala syamil bermaksud menyeluruh. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam adalah agama yang sempurna. Kesempurnaan ini adalah kerana ianya datang daripada Allah SWT .

Firman Allah SWT maksud nya :

Hari ini telah Kusempurnakan bagi kamu dan telah Aku selesaikan nikmatKu ke atas kamu dan Aku rela Islam sebagai deen kamu

( Surah al Maidah : 3 )

Islam juga bersifat syumul iaitu menyeluruh, mencakupi semua aspek hidup manusia. Allah SWT telah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mengambil Islam dalam semua aktiviti dan bidang kehidupan.

Firman Allah SWT maksudnya :

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh……..

(Al-Baqarah: 208)


2.2.7 Islam agama fitrah.

Islam adalah risalah untuk manusia seluruhnya, iaitu dipandang dari sudut manusia itu keseluruhannya. Ia bukanlah risalah bagi akal tanpa roh, bukan rohani tanpa jasmani, bukan fikiran tanpa perasaan dan bukan sebaliknya. Ia adalah risalah insan seutuhnya iaitu rohnya, jasmaninya, hati nuraninya, kemahuannya dan perasaannya.

Sesungguhnya Islam tidak membahagikan manusia kepada dua bahagian sebagaimana dilakukan oleh agama-agama yang lain iaitu :

i. Bahagian rohani yang dikendalikan oleh agama dan diarahkan ke tempat ibadat. Bahagian ini menjadi hak golongan agama dan tempat permainan bagi para paderi dan pendita bagi mengarahkan manusia mengikut arahannya.

ii. Terdiri daripada benda yang tidak ada kekuasaan bagi agama ke atasnya, malah tidak ada medan bagi Allah SWT padanya. Bahagian ini menjadi medan bagi kehidupan bagi kehidupan dunia, politik, masyarakat dan negara. Dan inilah bahagian yang terbesar dari kehidupan manusia.


2.3. STRUKTUR ISLAM SEBAGAI AL DIN.

Islam mempunyai konsep yang amat luas yang merupakan cara hidup yang lengkap. Ianya merangkumi perkara-perkara penting dalam pengertian Din itu sendiri. Di dalamnya terkandung TIGA perkara besar iaitu aqidah, syariah dan akhlak.

2.3.1 Aqidah (Iman).

Aqidah merupakan perkara asas dan dasar kepada Islam. Ia diumpamakan seperti akar tunjang bagi sepohon pokok. Aqidah juga merupakan titik permulaan menjadi seorang muslim serta merupakan asas keyakinan dan pegangan hidup manusia. Aqidah Islam adalah kepercayaan dan keyakinan kita kepada Allah SWT sebagai Rabb dan Ilah Yang Maha Esa manakala Muhammad SAW adalah Rasulnya. Di samping itu menerima elemen-elemen yang enam dengan penuh keyakinan tanpa keraguan dan prasangka. Sabda Rasulullah SAW ( Terjemahannya ) :

“Berkata Rasulullah SAW :

Sesungguhnya iman itu ialah engkau beriman dengan Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhirat dan engkau beriman dengan takdir baik dan buruk.

(Riwayat Muslim)


2.3.2 Syariah (Islam)

Syariah ialah bidang Din Islam yang berkaitan dengan undang-undang, hukum hakam ketentuan Allah untuk dilaksanakan bagi menjamin kemaslahatan umat manusia. Syariah Allah meliputi segala aspek. Bermula dari pembentukan peribadi muslim, keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya dunia keseluruhannya yang diamanahkan oleh Allah kepada manusia agar ditegakkan dengan syariah Islam.

Oleh itu, di dalam Islam Allah SWT telah mensyariatkan sembahyang, puasa, zakat, haji sebagai asas-asas penting dalam syariah Islam. Di atas asas-asas inilah manusia juga hendaklah melaksanakan segala aktiviti kehidupan mereka berdasarkan undang-undang Allah seperti dalam bidang kehidupan mereka berlandaskan undang-undang Allah seperti dalam bidang perundangan, aktiviti ekonomi, sosial, moral dan lain-lain. Ini semua mestilah berpandukan syariat yang telah diturunkan oleh Allah SWT.


2.3.3 Akhlak (Ehsan)

Menurut Imam al Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, akhlak ialah sifat yang tertaman dalam jiwa seseorang, yang dengannya lahir perbuatan hasil dari pancaran hati sanubari dalamannya. Akhlak yang mulia merupakan matlamat yang asasi bagi risalah Islam. Ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud :

“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

(Riwayat Malik)

Akhlak juga merupakan natijah dan tanda dari aqidah yang betul. Tidak ada nilai bagi aqidah atau iman yang tidak disertai oleh akhlaq yang mulia. Akhlaq juga merupakan amalan yang paling berat yang akan diletakkan di dalam neraca hamba pada hari kiamat kelak. Maka barang siapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Di dalam Islam akhlak merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai apa-apa nilai.

Firman Allah SWT maksudnya :

“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar”

(Surah al-Ankabut : 45)

Ayat tersebut menerangkan bahawa seseorang yang mendirikan solat sudah tentulah tidak melakukan perkara-perkara fasad dan mungkar kerana dia memahami erti Din Islam yang sebenarnya.


2.3.4 Hubungan Di Antara Aqidah, Syariah Dan Akhlak.

Syariah dan aqidah laksana hubungan batang pokok dan akarnya. Sebagaimana pohon kayu tak dapat tumbuh tanpa akar, demikian pula mustahil bagi seseorang yang tidak memiliki aqidah atau iman untuk memulakan dirinya menjadi seorang muslim.

Aqidah adalah dasar dalam Islam, ia menjadi titik permulaan untuk mengamalkan segala tuntutan Islam, atau menjadi tapak tegaknya aktiviti keislaman (syariah) dalam hidup dan kehidupan individu. Dengan adanya aktiviti keislaman yang dilakukan oleh seseorang individu menjadi bukti ia memiliki aqidah atau nilai keimanan yang dimilikinya.

Manusia hidup di atas dasar aqidahnya. Tinggi rendah nilai kepercayaan memberikan corak kepada kehidupannya. Oleh itu, kehidupan dalam Islam mesti dimulai dengan Iman. Sistem atau manhaj ini dapat dilihat daripada sirah Rasulullah SAW yang mana pada permulaan awal Islam para sahabat baginda dididik dengan asuhan iman terlebih dahulu sebagai persediaan awal untuk ke arah cara hidup Islam yang sebenar.

Hubungan aqidah (iman), Islam (syariah) dan ehsan (akhlak) dapat dilihat dalam sesuatu amal ibadah seperti sembahyang dianggap sah serta diterima Allah sekiranya dilaksanakan dengan penuh ehsan iaitu apabila niat asal mendirikannya kerana Allah dan bukan kerana yang lain. Inilah yang dinamakan ikhlas.


2.4. ISLAM DAN CABARAN SEKULARISME.

Sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan kehidupan dunia dengan agama. Ini bermakna agama hanya menjadi milik orang yang percaya kepada konsep ketuhanan sahaja, manakala satu golongan lagi tidak berpegang atau hidup tanpa berpandu kepada agama dalam apa saja lapangan kehidupan.


2.4.1 Suatu perkembangan yang membahayakan umat.

Suatu pengaruh dan fahaman yang merosakkan umat Islam ialah menularnya fahaman Sekular di tengah-tengah masyarakat Islam. Pengaruh Sekularisme ini telah merebak ke negara-negara Islam. Dikatakan bermula dari abad ke 18M hinggalah pengaruh ini akhirnya berakar umbi di dalam diri masyarakat Islam di abad ini. Suatu contoh yang jelas di zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah Othmaniyah Turki, di mana telah diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al Qur’an dan al Sunnah. Undang-undang ini datangnya dari kod orang Barat semenjak zaman Renaissance. Ia telah menjayakan Sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh dan berakar umbi memasuki semua bidang hidup hingga menyebabkan soal-soal kehidupan harian terpisah dari dasar-dasar kerohanian Islam. Pengaruh Barat ini diterima dengan mudah dengan alasan untuk menjalankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan. Melalui fahaman Sekular ini Deen Islam bukan lagi menjadi satu sistem untuk mengatur kehidupan manusia tetapi hanya menjadi amalan peribadi sahaja.


2.4.2 Pendewaan nilai Barat.

Sebahagian masyarakat kini juga sedang menghadapi bahaya kerana mendewakan idea-idea Barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan Allah dalam FirmanNya maksudnya :

Mereka ( ahli kitab ) mengambil bijak pandai dan pendita-pendita mereka sebagi tuhan-tuhan mereka selain dari Allah

( At-Taubah : 31 )

Mujahid Sa’id Hawwa telah menjelaskan di dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa “Adi bin Hatim at-Ta’l datang berjumpa Rasulullah SAW sedang baginda membaca ayat tersebut. “Adi berkata kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Ahli-ahli Kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka”. Maka Rasulullah SAW berkata kepada ‘Adi : “Ya !, sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli kitab sesuatu yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka ahli kitab mematuhinya, maka itulah bentuk penyembahan kepada mereka (pendita-pendita) tersebut.”

Mujahid Sa’id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka sedang melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah SWT. Di kalangan orang ramai terdapat berbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada pelaksanaan hukum lain selain hukum Allah SWT. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan pada masa kini kerana dikatakan ianya adalah sistem yang kuno dan ketinggalan zaman. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk mengubahnya mereka enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al Qur’an dan as Sunnah. Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamadun lagi. Sikap-sikap sedemikian amat berbahaya serta dibimbangi akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan Allah SWT :

Maksudnya :

“Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzilkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada taghut (sistem selain Islam) sedangkan mereka diperintahkan menolak taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya.”

(An-Nisa’: 60)


2.4.3 Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam.

Menurut asy-Syahid Dr.Abdul Kadir Audah di dalam bukunya, Al-Islam Wa Audha’una as-Siyasiyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.

Kejahilan terhadap Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam kerana mereka telah didoktrinkan dengan prinsip-prinsip Sekularisma. Mereka menolak hukum-hukumnya yang menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.

Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah SWT. Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam Firmannya :

Maksudnya :

“Sesungguhnya Din di sisi Allah hanyalah Islam.”

(Ali-‘Imran : 19)

Allah SWT sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam Firmannya :

Maksudnya :

“Sesiapa yang mencari selain dari Islam sebagai Deen (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi.”

(Ali-‘Imran: 85)

Jika demikian sifat Islam maka mengapa masih kedapatan ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam ? Sesungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah SWT, menolak al Qur’an dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi Sekularisma yang lain, maka mereka sebenarnya telah diselaputi dengan kegelapan dan kesesatan. Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri.

Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi Demokrasi, Kapitalisme, Komunisme, Liberalisasi dan Sosialisme, meskipun mereka mengaku dan percaya kepada Allah dari sudut tauhid Rububiyyah tetapi tidak pada sudut UluhiyyahNya. Kejahilan menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam, sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam. Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain. Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah SWT.